BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 30 November 2010

4 Perkara Sebelum Tidur


Assalammualaikum…

Sesuai dengan sifat Islam itu yang syumul, setiap perbuatan dipandu dengan sunnah Baginda Rasullullah S.A.W. termasuk berkaitan dengan tidur.

Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra : ?Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, yaitu :

1. Sebelum khatam Al Quran,
2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir,
3. Sebelum para muslim meridloi kamu,
4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah....

Bertanya Aisyah :
Ya Rasulullah.... Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika??

Rasul tersenyum dan bersabda :
Jika engkau tidur bacalah,
1) Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Quran. 
2) Membacalah sholawat untukKu dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat.
3) Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredloi kamu.
4) Perbanyaklah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir maka seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah?

Sekian untuk ingatan kita bersama.
 * Kalau rajin.. Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Muslim yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah  salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang  mengajarnya meskipun dia sudah mati.

Isnin, 29 November 2010

INGATAN BUAT SAUDARIKU

Ramai orang percaya bahawa cinta tiada diikat oleh seni. Malah ada pujangga yang berkata bahawa cinta lebih tinggi dari segala peraturan. Pada hakikatnya cinta ada seninya untuk membezakannya dari yang lain. Jika tinggi seni cinta itu, dan dipraktikkan seni itu, maka tinggilah nilai cinta itu. Sesungguhnya nilai estetika cinta tidak boleh dipisahkan dari nilai etikanya. Jika dipisahkan, maka cinta itu akan jadi tempang dan buta.


Berikut adalah Seni Cinta Sejati untuk anda praktikkan :-

Seni Berfikir

* Cinta Sejati itu tidak buta. Cinta itu dikurniakan kepada makhluk yang berakal. Kerana cinta memerlukan akal bagi menilainya dari sudut mutu etikanya.

* Cinta itu bukanlah segala-galanya.Walaupun ia penting dalam hidup,iman yang lebih penting dari cinta. Dengan adanya iman,barulah anda boleh mencintai dengan Cinta Sejati.Cinta juga perlu kpd akal kerana cinta tergolong kepada hal nafsu.

* Cinta perlu kepada pedoman atau peraturan.Tanpa pedoman,cinta akan buta dan meraba-raba. Cinta Sejati tidak pernah menolak pedoman dan tidak lupa pada pedoman hidup,iaitu ISLAM.

* Cinta itu amanah. Ia bukan hak anda. Sebagaimana halnya dengan diri anda,cinta juga adalah amanah.Tidak wajar untuk anda jadikan amanah untuk memusnahkan atau memungkiri amanah yang lain.

* Cinta Sejati itu sifatnya total.Ertinya walaupun anda cinta kepada kekasih anda,ia hanya sebahagian dari cinta yang menyeluruh. Cinta Sejati itu adalah cinta kepada PENCIPTA ANDA, cinta pada diri anda,cinta kepada ibubapa anda,cinta kepada masyarakat anda,cinta kepada agama anda,dan dalam masa yang sama cinta kepada kekasih anda. Kerana sifatnya total dan menyeluruh,maka Cinta Sejati akan menjadi adil.Ia meletakkan cinta pada yang berhak untuk dicintai dan setakat mana patut dicintai.Ia tidak melebihkan cinta kepada kekasih saja hinggakan lupa pada cinta yang lain.

* Cinta Sejati tidak perlu disebut.Ia khas untuk anda.Ia bukan hak orang lain.Jika anda beri Cinta Sejati,ia tidak semestinya dibalas oleh orang yang anda beri.Tapi anda tidak akan kecewa bila cinta tidak berbalas kerana anda tahu anda bercinta di bawah naungan Pencipta,yang tentu membalas kebaikan terhadap cinta anda yang putih bersih.

Seni Merasa

* Cinta yang anda nikmati sedikit demi sedikit berkat kesabaran itulah yang lebih membahagiakan anda.Anda tidak perlu gelojoh dalam cinta.Ini kerana jika anda gelojoh,anda mungkin seronok sebentar saja tapi merana sepanjang hayat.

* Merasa Cinta Sejati terhadap kekasih ialah mentakrif nikmat peringkat kedua,yang sederhana sifatnya,tidak melampau-lampau.Anda tidak terlalu terbawa-bawa oleh perasaan bila cinta anda sejati.Anda masih boleh membuat pertimbangan yang wajar.

* Jika kecewa bercinta,jangan hingga berputus asa,kerana rahmat Pencipta masih dikurniakan untuk anda. Cubalah rasai betapa beruntungnya anda mengecapi nikmatNya yang lain,dan bersyukurlah kepadaNya.

Seni Bertindak

* Jangan mendahului ketentuan.Anda perlu banyak bersabar dalam bercinta.Bila sampai masanya anda akan dihalalkan untuk membuktikan cinta,barulah anda membuktikannya itulah Cinta Sejati.

* Jikalau anda bercinta sebelum berkahwin,layanilah sekadar saja.Yang penting ialah menikahi kekasih anda,itulah ertinya menerima cintanya,kerana nikah adalah ikatan cinta.

* Andai kata anda bercinta sebelum berkahwin dan kekasih anda mahu merosakkan kehormatan anda,jauhilah dia dan jangan rasa kesal akibat kehilangannya.Mudah-mudahan anda akan mendapat kekasih yang jauh lebih memahami Cinta Sejati dan tulus dalam cintanya terhadap anda.

* Manifestasikan cinta anda hanyalah setelah bernikah.Berdoalah agar cinta itu diberkati-Nya dan sentiasa mendapat rahmat-Nya. Pohonlah kepada-Nya agar dikurniakan kepada anda nikmat Cinta Sejati yang tiada taranya.

Cinta Sejati atau Cinta Suci itu tidak buta. Cinta ini celik dan kecelikan cinta itu dapat mencelikkan pula yang lain.Cinta Sejati tidak buta dan tidak wajar dikatakan buta. Cinta yang buta ialah cinta yang bernoda.

Cinta yang buta itu segalanya buta.Buta tentang cara dan peraturan cinta,buta tentang tanggungjawap cinta,buta tentang hikmah cinta, malah buta tentang hakikat diri. Cinta yang buta itu cacat,kerana ia buta.

Sayangnya ramai yang suka kepada cinta buta,membiarkan dirinya hanyut dibawa arus geloranya,tersadai di celah akar pohon kecewa,lalu berkata,'Cinta Itu Buta'

Cinta Sejati bukan seperti cinta Laila dan Majnun atau Romeo dan Juliet.Cinta Suci adalah seperti cinta Rasulullah dan Khadijah,atau Saidina Ali dan Fatimah. 

BERKAHWIN MURAH REZEKI

Assalamualaikum,

Berkahwin atau mendirikan rumah tangga merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Perkahwinan itu sunnah aku. Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku."
(Riwayat Bukhari)

Hari ini sering kita melihat bahawa sesuatu perkahwinan itu suatu perkara yang rumit dan menyusahkan. Kenapa perkara ini boleh terjadi ? Ramai di antara kita yang beranggapan, nak kahwin mesti ada kereta, mesti ada wang yang banyak, mesti ada itu dan ini ...

Cuba kita ambil iktibar dari kisah yang berlaku lebih kurang 1400 tahun dahulu yang mana boleh kita jadikan panduan hidup ini. Insya-Allah ...

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. didatangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini mengaku dirinya seorang yang miskin. Kemudian ia meminta jalan keluar agar terlepas dari belenggu kemiskinan.

Rasulullah s.a.w tanpa banyak fikir lagi terus menyuruh lelaki itu berkahwin. Lelaki ini sangat senang dengan saranan yang diberikan Rasulullah. Dengan keyakinan yang mantap, akhirnya lelaki itu berkahwin. Setelah sekian lama berkahwin, lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan nasibnya, "Ya Rasulullah saya sudah berkahwin tetapi masih tetap miskin, bagaimana ya Rasulullah ?". "Kahwin lagi," jawab Rasulullah singkat.

Si lelaki tanpa banyak bertanya lagi. Beliau percayakan kepada Rasulullah. Sebab tidak mungkin Rasulullah mahu menipu ummatnya. Akhirnya lelaki itu berkahwin lagi dengan gadis lain.

Namun beberapa waktu kemudian lelaki itu datang lagi kepada Rasulullah dan mengadukan masalahnya : "Ya Rasulullah, isteri saya sudah dua tapi saya masih miskin, bagaimana ya Rasulullah...?" keluh lelaki itu. "Kahwin lagi," jawab Rasulullah singkat. Hati lelaki itu berasa senang apabila mendengar jawapan Rasulullah.

Kemudian beliau berkahwin buat kali ketiga. Namun setelah beberapa lama keadaan tetap juga belum berubah. Mulanya ia malu mengadu kepada Rasulullah, tapi apakan daya ia masih tetap miskin. Dengan berat hati beliau mendatangi Rasulullah dan menyampaikan masalahnya. "Ya Rasulullah, engkau telah menyuruhku menikah untuk ketiga kalinya, tapi aku tetap miskin. Sekarang apa yang harus kulakukan?", adu lelaki itu. "Berkahwinlah lagi," kata Rasulullah.

Akhirnya si lelaki itu menikah buat kali keempat. Dan benarlah kata Rasulullah. Ternyata isteri keempatnya ini membawa hikmah di dalam kehidupannya. Dengan kepandaiannya menenun, ia mengajar kemahiran tersebut kepada tiga madunya. Akhirnya usaha tersebut mendatangkan keuntungan dan kekayaan. Perusahaan industrinya maju dan mampu mencukupi keperluan rumah tangga lelaki itu serta isteri-isterinya.

Sabda Rasulullah bermaksud : "Carilah rezeki dengan menikah"
(Riwayat Ibnu Abbas)

Firman Allah Taala bermaksud : "Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui."
(surah an-Nur :32)

Dengan mengambill iktibar dan teladan dari kisah di atas, Insya-Allah jika niat kita ikhlas dan murni serta tujuan berkahwin itu kerana Allah, tidak mustahil segala gejala-gejala sosial dapat dihindarkan.

Wassalam...
 

Rabu, 24 November 2010

PAKU DI TIANG


Beberapa ketika yang silam, ada seorang ikhwah yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai menunaikan suruhan agama. Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya. Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya. Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya.

Suatu hari ikhwah tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau ni terlalu sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang  paku akan kucabut keluar dari tiang ini." Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut. Kadang-kadang sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar paku dari tiang.

Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar lepas. Tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat lepat dek kerana hujan dan panas. Setelah melihat keadaan tiang yang bersusukan dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu dan keinsafan dalam diri Mat kerana selama ini bergelumang dalam dosa dan noda. Maka dia pun berazamlah untuk memperbaiki dirinya.

Mulai detik itu, Mat mula sembahyang. Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang. Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan solat-solat sunat. Lebih banyak lagi paku tercabut. Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat yang melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang tinggal melekat di tiang. Maka ayahnyapun memanggillah anaknya dan berkata: "Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?" Mat merenung pada tiang tersebut, tapi di sebalik melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula menangis teresak-esak. "Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "Aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada." Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada, tapi aku bersedih kerana parut-parut lubang dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya."

Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan,

Dengan dosa-dosa dan kemungkaran yang seringkali diulangi hinggakan menjadi suatu kebiasaan (habit), kita mungkin boleh mengatasinya, atau secara berangsur-ansur menghapuskannya, tapi ingatlah bahawa parut-parutnya akan kekal. Dari itu, bilamana kita menyedari diri ini melakukan suatu kemungkaran, ataupun sedang di ambang pintu habit yang buruk, maka berhentilah serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita telah membenamkan sebilah paku lagi yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Apatah lagi kalau kita biarkan ianya berkarat dalam diri ini sebelum dicabut. Lebih-lebih lagilah kalau dibiarkan berkarat dan tak dicabut.

KASIH SAYANG MENURUT ISLAM


Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.
Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:
Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu
Maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “

Inilah sebabnya baginda Rasulullah s.a.w menyatupadukan golongan Aus dan Khadraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan di kalangan mereka. Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah.

Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Maka tepatlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:


Maksudnya: “ Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “

Apabila kita meninjau akan kelemahan kita masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita sehari-hari. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri. Ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita. Malah dalam sejarah bangsa Melayu, pernah kita mengajak Inggeris, menyediakan kelengkapan perang untuk menjatuhkan sesama Melayu. Akibatnya negara kita dijajah.

Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.

Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya yang berbunyi:



Maksudnya: “ Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat Tarmidzi)

Malah banyak lagi Hadis yang melarang segala sifat keji ini. Antara punca lahirnya sifat-sifat keji itu ialah:

1. Hilang rasa malu dan rendah diri kita terhadap segala perkataan dan perbuatan kita.
2. Meletakkan nafsu dan dorongan rasa benci terhadap saudara kita.
3. Rasa benci dan ketidakpuasan hati kita yang telah mengawal akal dan hati kita.

Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu. Maka ketika itu mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam seperti di Indonesia, negara-negara Arab dan Afrika yang hanya memikirkan cara untuk menghapuskan saudaranya sahaja, bukan untuk membantu dan meningkatkan maruah serta martabat bangsa mereka sendiri. 

Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat kasih sayang yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan. Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu cicit kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun jua.

Rumusan

Kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak anak kita di rumah. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan anak-anak kita.

Selasa, 23 November 2010

Selamat Datang Ke teratak saya...

Assalammualaikum...
 Salam perjuangan buat semua, mula mengaktifkan diri kembali dalam dunia maya. setelah lama berhenti kerana kekangan masa, insyaAllah kesempatan yang ada ini akan digunakan bagi berkongsi sedikit sebanyak pengalaman, kejayaan dan kegagalan dalam kehidupan. diharapkan segalanya berguna bagi diri dan saudara semua. apa yang diharapkan bukanlah pujian atau sanjungan, tapi rahmat dan kasih sayang dari tuan ampunya dunia. mohon doa dari semua.

Selamat menjamu rohani