Dengan nama Allah
yang maha pemurah…
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian salam…
Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasul rahmat sekalian
alam…
Selamat sejahtera buat sahabat semua, saya doakan semoga
kita semua senentiasa dalam naungan rahmat Allah…
Apa khabar sahabat sekalian? didoakan kita semua senentiasa dalam keadaan sihat dan senentiasa berasa hebat dalam diri. Pujangga pernah berbicara, dengan memasakkan rasa hebat dalam diri kita akan senentiasa mudah untuk melakukan apa jua kerja yang ingin kita lakukan.
Dalam post kali ni nak bag sikit perkongsian dari seorang sahabat. Artikel ni diamanahkan kepada saya oleh abg Fadhiri supaya saya kongsikan dan hadam untuk dijadiakan panduan dalam hidup. Sumber bleh dipercayai..
Oleh : Ust Zaharuddin
Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu. Para remaja
Islam dari kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali dari menjadi
peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka mengalihkan minat itu kepada
dendangan lagu-lagu nashid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran
agama.
Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang
dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang
asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan
kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit
dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa
elemen Islam.
Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, InshaAllah. Dalam penulisan
ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum wanita muslimah dalam industri nasheed ini.
Adakah ianya halal atau sebaliknya?
Suara Wanita
Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu
أنَّ رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال:
"يا معشر النساء تصدقن وأكثرن الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار،
فقالت امرأة جزلة منهنَّ: وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن
اللعن، وتكفرن العشير"..
Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata : wahai seluruh kaum wanita,
bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah
majority ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita : Mengapa kami menjadi
majority ahli neraka ya Rasulullah? : rasul menjawab : wanita banyak yang
melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya.."
(Riwayat Muslim)
Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin membawakan
bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat. Pertanyaan secara
langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini, banyak lagi hadith-hadith
lain yang membuktikan suara wanita bukan aurat.
Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang muktamad dalam Maliki,
Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita bukanlah aurat.
Berubah Menjadi Aurat
Bagaimana hukum jika seorang wanita itu melembut dan memanjakan suara di
hadapan lelaki bukan mahram?.
Inilah perbincangan saya.
Tidak dapat dinafikan lagi jika demikian keadaannya, sudah tentu ia diharamkan
oleh Islam.
"eh ustaz, sedapnya suara wanita tadi ye" kata seorang rakan saya
" yang mana satu ni?" Tanya saya sambil cuba mengingat kembali.
"ala, yang sekali meeting dengan kita tadi le" katanya menjelaskan.
"Sedap macam mana tu" tanya saya menduga
"ish..naik le bulu roma saya dan kalau boleh nak dengar tiap-tiap hari
suara dia, astaghfirullah, eh.. dosa ke ustaz, suara bukan aurat kan ?"
katanya sambil tersenyum kambing.
Bayangkan bagaimana
keterlanjuran kata oleh siswa ini di hadapan saya. Wanita perlu mengetahui
betapa lemahnya lelaki di hadapan mereka. Lelaki secara umumnya (kecuali yang
punyai keimanan yang hebat) memang mudah tergoda dengan suara merdu wanita
walaupun wanita itu tidak langsung berniat untuk menggoda. Maka apatah lagi
jika di ketika ia memang berniat untuk menggoda.
Saya masih ingat satu ketika di satu universiti, satu mesyuarat sedang
berjalan. Saya mempengerusikan mesyuarat.
Suasana agak biasa, sehinggalah tiba-tiba seorang mahasiswi memberikan pandangannya
kepada satu isu yang sedang dibincangkan.
Walaupun mahasiswi itu
berada di belakang tabir, tetapi oleh kerana suaranya yang lembut dan lemak
gemalai secara semulajadi ( bukan sengaja dibuatnya), semua mahasiswa yang
tadinya seperti mengantuk menjadi cergas dan terbeliak mata sambil berubah
wajah seperti malu-malu serta cukup tekun mendengar setiap butiran ayat yang
keluar dari mahasiswi itu.
Entah apa yang merasuk mereka..
Habis meeting, seorang dari mereka menyapa saya lalu berkata :
"sapa tadi ye ustaz, siswi tadi tu"
"siswi mana" tanya saya
"ala yang suara merdu tu, apa namanya ye ustaz..ehem ehem, terpikat juga
saya dengar suaranya" tegaskan tanpa malu-malu
Cuba lihat apa yang terjadi, hanya dengan suara tanpa melihat rupa pun sudah boleh
meruntun hati seseorang siswa yang mengaji agama di universiti, apatah lagi
jika siswa yang mengaji rempitan di jalanraya. !
Teringat Di Jordan
Saya juga teringat satu hari, ketika saya samapi ke satu universiti untuk
memberikan ceramah, ketika itu agak kecoh siswa di sana berkenaan satu vcd
nashid kumpulan wanita yang baru sampai dari Malaysia. Saya mendengar bahawa
terdapat beberapa bakal-bakal ustaz ini yang berebut-rebut untuk melihat dan
mendengarnya. Apabila saya
bertanya lanjut tentang hal ini kepada seorang pemimpin mahasiswa, rupanya vcd
itu begitu popular kerana penashidnya terdiri dari kalangan anak-anak gadis
yang 'ada rupa' serta 'solehah'. Hmm solehahkah mereka ...?
Pinjam meminjam pun berlaku dengan hebatnya di kalangan mahasiswa, ada juga
yang men 'copy' ke komputer masing-masing. Kemudian timbul aduan dari salah
seorang mahasiswa soleh kepada saya bahawa terdapat mahasiswa yang amat asyik
dan mengulang-mengulang vcd tersebut.
Lihatlah kesannya, adakah ini dakwah ?..baca sampai ke habis, inshaAllah akan
mendapat jawapannya.
Amaran Allah
Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan
hal ini apabila menyebut :-
فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى
قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً
Ertinya : Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu
maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu,
maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan
tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)
Para ulama tafsir
menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari
kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan dipeerdengarkan kepada
lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini ( Adwa al-Bayan, 5/10 :
At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137 ; )
Imam As-Suddi berkata : larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita
menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan
khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan
menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir
Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)
Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasheed wanita
juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan
kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak
wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah
harus.
Suara Wanita Ketika Beribadah
Displin Islam dalam hal ini boleh dilihat dari perkara di bawah ini :-
1) Ingin Menegur Imam semasa solat,
Jika kaum wanita ingin menegur imam lelaki yang tersilap bacaan atau terlupa
rakaat dan lainnya. Nabi SAW hanya membenar para wanita mengingatkan imam
dengan menggunakan tepukan sahaja.
Hadithnya :-
فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم
التصفيق من رابه شيء في صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق
للنساء "
Ertinya : Berkata Rasulullah SAW , mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk
apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah
kamu ( lelaki ) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk wanita"
( Riwayat Al-Bukhari, no 652)
Arahan nabi untuk wanita bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi menjaga
suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat (Faidhul qadir, 3/281
; Al-hawi al-Kabir, 9/17)
2) Wanita dan azan
Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi menyebut
bahawa ayat ini memberi hukum bahawa wanita dilarang dari melaungkan azan
terutamanya jika kemerduan suaranya dijangka mampu mengelodak hati sang lelaki
( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan ringkas)
Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak diketahui ada yang
bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn Quddamah, ( Al-Mughni, 2/68 )
3) Wanita menjadi imam solat kepada wanita lain atau ketika solat jahar.
Sudah tentu wanita harus untuk menjadi imam kepada wanita lain, tetapi mereka
tidak dibenarkan mengeraskan bacaan quran mereka jika di tempat itu terdapatnya
para lelaki yang bukan mahramnya. ( Al-Mughni , Ibn Quddamah)
Imam Ibn Hajar berkata : "jika dikatakan bahawa sekiranya wanita
menguatkan bacaannya di ketika solat maka solatnya batal, adalah satu pendapat
yang ada asasnya" (Fath Al-Bari, 9/509 )
Jelas bahawa suara wanita yang dilagukan atau dalam keadaan biasa apabila
melibatkan soal ibadah hukumnya dilihat semakin ketat kerana dibimbangi
menggangu ibdaaha wanita itu terbawa kepada kerosakan kaum lelaki yang lemah
ini. Kerana itu disebutkan
فرع : صرّح في النوازل بأنّ نغمة المرأة عورة..ولهذا قال
عليه الصلاة والسلام : ( التسبيح للرجال والتصفيق للنساء ، فلا يحسن أن يسمعها
الرجل . )
Ertinya : Ditegaskan bahawa suara wanita yang dilagukan adalah aurat ..kerana
itu Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya tasbih untuk lelaki , dan tepukan khas
untuk wanita, maka tiada harus didengari ‘tasbih' wanita oleh si lelaki" (
Syarh Fath Al-Qadir, 1/206 )
4) Suara wanita dan talbiah Haji
Ijma ulama bahawa wanita tidak mengangkat suaranya kecuali hanya setakat didengari
olehnya sahaja, demikian pendapat Ato', Imam Malik, Syafie, Hanafi Awzaie (
AL-Um, 2/156 ; Al-MUghni , Ibn Quddamah, 5/16 )
Kesimpulan
Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :-
1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam ; Ia
diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total,
ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila
dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki (Al-Jami' Li Ahkami Quran, 14/227 ;
Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156 ; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati ; 3/260 ;
Al-furu', Ibn Al-Mufleh, 1/372 )
2) Yang dilembutkan
dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk
diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma'. ( An-Nihayah, Ibn Athir,
42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Tafsir At-Tabari ; 3/22 ; Hasiyah
At-Tohawi ; 1/161)
Maka kumpulan nashid wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang kedua
tanpa khilaf. Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan
mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di
khalayak awam juga.
Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan
pakaian yang canggih manggih. Di samping itu, duduk pula di atas pentas menjadi
tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding
pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata. Apatah lagi
kumpulan nashid wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan
melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu
haramnya lebih besar.
" tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi
wanita yang seksi..eloklah mereka tengok kami" mungkin ini sebahagian
pertanyaan penyokong kumpulan nashid wanita.
Jawapnya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga.
Sebagaimana di sebut oleh dalil :-
إِنَّ اللَّهَ عز وجل لاَ يمحوا السيء بالسيء وَلَكِنْ
يَمْحُو السيء بِالْحَسَنِ إِنَّ الْخَبِيثَ لاَ يمحوا الْخَبِيثَ
Ertinya : " Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan
buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal)
Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor" ( Riwyaat
Ahmad, 1/387 : Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf ; Majma'
Az-Zawaid, 10/228 )
Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi
nashid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya.
Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK, Allah
tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram. Tiada siapa boleh
mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakanya bahawa arak itu
buruk.
Nabi SAW bersabda :
إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم
Ertinya : "Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara
yang diharamkanNya" ( Riwayat Al-Bukhari )
Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah
SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat dalam perkara
yang diharamkanNya. ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )
Demikianlah dakwah dan pemulihan akhlak dan jiwa manusia, Allah SWT tidak akan
menjadinya perkara yang diharamkanNya (melembutkan suara hadapan bukan mahram)
sebagai medium dakwah yang berkesan. Ia tidak lain hanyalah untuk komersial dan
mengaut untung sahaja.
Setiap hasil untung dari jualan kaset nashid wanita dewasa ini juga tidak lain
kecuali hasil yang haram menurut sepakat ulama mazhab. Kecuali jika ia khas
untuk wanita dan dijual secara tertutup di majlis wanita sahaja. Persembahan
juga untuk kaum wanita.
Sedarilah kumpulan nashied wanita dan penyanyi wanita yang mendakwa dakwah
melalui nashid anda..Ia pasti tidak kan berjaya, usaha itu juga pastinya tidak
diterima oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil yang diberi.
BANTAHAN KEPADA ARTIKEL
Apabila tulisan ini mula disebar luaskan, maka terdapat suara-suara penyokong
nashid wanita yang cuba mengharuskan tindakan mereka dengan memberikan satu
hadith berkenaan dua orang hamab wanita yang mempersembahkan nyanyian kepada
Aisyah r.a di rumah Nabi SAW.
Hadith ini adalah seperti berikut :-
عن عَائِشَةَ رضي الله عنها قالت دخل أبو بَكْرٍ
وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ من جَوَارِي الْأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتْ
الْأَنْصَارُ يوم بُعَاثَ قالت وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ فقال أبو بَكْرٍ
أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ في بَيْتِ رسول اللَّهِ وَذَلِكَ في يَوْمِ عِيدٍ فقال
رسول اللَّهِ يا أَبَا بَكْرٍ إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا
Ertinya : Dari ‘Aisyah r.a berkata : Abu Bakar ( bapa Aisyah r.a ) masuk ke
rumah dan dibersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan bangsa
Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu'ath , lalu asiyah
berkata : Mereka berdua bukanlah penyanyi, Berkata Abu Bakar r.a : "
Adakah seruling Syaitan di rumah Rasulullah SAW? Maka Rasul berkata : WAhai Abu
Bakar, ini adalah hari raya, Bukahri , 1/335
Dalam riwayat lain :
عن عَائِشَةَ قالت دخل عَلَيَّ رسول اللَّهِ وَعِنْدِي
جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثَ فَاضْطَجَعَ على الْفِرَاشِ
وَحَوَّلَ وَجْهَهُ وَدَخَلَ أبو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وقال مِزْمَارَةُ
الشَّيْطَانِ عِنْدَ النبي فَأَقْبَلَ عليه رسول اللَّهِ عليه السَّلَام فقال
دَعْهُمَا
ُErtinya : "dari ‘Aisyah, Rasulullah SAW
masuk ke rumah dan dibersamaku dua orang jariah (hamba wanita) dari kalangan
bangsa Ansar sedang menyanyi dengan kisah-kisah Ansar ketika hari Bu'ath, maka
baginda terus baring dan memalingkan wajanya, maka masuk pula Abu Bakar r.a
lalu menegurku sambil berkata, adakah seruling syaitan di sisi nabi SAW, maka
nabi terus mendapatkannya lalu berkata : Biarkannya"
Secara ringkas, hujjah untuk mengatakan terdapat percanggahan atau harusnya
nashid wanita dengan dalil ini adalah tersasar dari kebenaran kerana :-
1) Ia dipersembahkan oleh hamba wanita. Maka hukum hamba adalah berbeza dengan
hukum wanita merdeka dalam banyak hukum fiqh.
2) Dua orang jariah itu digambarkan dalam banayak riwayat lain sebagai bukan
penyanyi khas, yang pandai menyanyi dengan teknik menyanyi yang dikenali dengan
melembutkan suara, memerdu dan melunakkannya sebagaimana penayanyi profesional.
Ini disebutkan melalui nas
"وليستا بمغنيتين"
Imam An-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani mentafsirkannya sebagai :-
معناه ليس الغناء عادة لهما ولا هما معروفتان به
Ertinya : Maknanya, ia bukanlah nyanyian yang biasa digunakan pada masa itu,
dan keduanya juga tidak dikenali pandai menyanyi (Nawawi, Syarh muslim, 6/182 :
fath Al-Bari, 2/442)
3) Rasulullah juga digambar tidak turut serta menikmatinya tetapi hanya
membiarkannya dinikmati oleh ‘Aisyah. Ia juga adalah di dalam rumah Nabi Saw
dan bukan di khlayak ramai. Imam An-Nawawi mengulas bahawa Nabi juga disebut
berpaling wajah :-
وإنما سكت النبي عنهن لأنه مباح لهن وتسجى بثوبه وحول
وجهه اعراضا عن اللهو ولئلا يستحيين فيقطعن ما هو مباح لهن
Ertinya : Nabi senyap dari tindakan itu kerana ia harus BAGI WANITA, dan nabi
MENUTUP DENGAN PAKAIANNYA dan berpaling wajah darinya sebagai menajuhi perkara
melalaikan" ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/183)
4) Takrif ‘Jariah' selain bermaksud hamba, ia juga digunakan untuk kanak-kanak
wanita belum baligh. Sebagaimana disebut oleh Imam al-Aini & Imam As-Suyuti
:-
قوله جاريتان تثنية جارية والجارية في النساء كالغلام في
الرجال ويقال على من دون البلوغ
Ertinya : Dua orang jariah : disebutkan bagi mereka yang dibawah umur baligh (
Umdatul Qari, 6/269)
قوله جاريتان الجارية في النساء كالغلام في الرجال يقعان
على من دون البلوغ
Ertinya : Jariah untuk wanita, ghulam panggilan untuk lelaki yang keduanya
digunakan untuk mereka yang di bawah umur baligh. (Sindi, 3/194 : Syarhu
As-Suyuti li sunan An-Nasaie, 3/197 )
Hal ini juga disebut di dalam Awnul Ma'bud :-
لأنهما جاريتان غير مكلفتين تغنيان بغناء الأعراب
Ertinya : kerana mereka berdua belum mukallaf ( belum baligh) lalu mereka
menyanyikan lagu-lagu a'rab ( Awnul Ma'bud, 13/181)
Justeru, apa lagi hujjah yang boleh diguna untuk mengharuskannya?. Dharurat
atau maslahat?..lupakan sahaja.
Sekian
http://www.zaharuddin.net/
29 Mei 2007