BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 29 Disember 2010

PUSAT PERLINDUNGAN BAYI PERTAMA DI HOSITAL???

YEAP.... ASSALAMMUALAIKUM....

amacam kehidupan... diharapkan bertambah sihat dan berkat disamping orang yang disayangi atau dibenci... kih kih kih...
baru-baru ini, dalam akhbar BERITA HAIRAN ada dipaparkan tentang pewujudan sebuah pusat pelindungan bayi di hospital. erm... cadangan yang baik... modus operandinya agak kabur.. tidak dijelaskan dalam akhbar yang "HAIRAN".
namun, menurut pengarah eksekutif program tersebut yang ditemu ramah wartawan "HAIRAN" "Ia ditubuhkan atas rasa tanggung jawab sosial "___" bagi membendung gejala pembuangan bayi yang tidak berdosa ini. Pusat ini hanya mahu menyelamat kan nyawa bayi serta memberi pelindungan sebaik-baiknya kepada mereka,"
nampaknya matlamatnya jelas, ingin membantu bayi yang tidak berdosa. disamping, mengelakkan lagi perlakuan gejala sosial berkembang. si pelaku mesti akan berfikir mcm ni: yeap... boleh buat lagi, nanti kalo dpt anak boleh letak je kat hosp tu....
kan kan kan......
HAIRAN...

WANITA DAN POHON SEMALU

Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah bersiar2 bersama puteri bongsu
kesayangan baginda, Saidatina Fatimah RA, maka setibanya mereka
berdua di bawah sebatang pohon tamar, tiba-tiba sahaja Saidatina
Fatimah RA secara tidak sengaja terpijak sepohon semalu, lalu
berdarahlah kaki beliau dan mengadu kesakitanlah beliau saat itu
sambil mengatakan kepada ayahanda beliau apalah gunanya pohon2
semalu itu berada di situ. Walaubagaimanapun, Rasulullah SAW dgn
tenang berkata kpd puteri bongsu kesayangan baginda bahawasanya
pohon semalu itu mempunyai kaitan yg amat rapat dgn wanita.
terkejutlah Saidatina Fatimah RA. Maka Rasulullah SAW pun
menyambung, adapun seseorang wanita itu hendaklah mengambil empat
pengajaran drpd kewujudan pohon2 semalu yg amat berkait rapat dgn
diri mereka ini....

1) Pohon semalu itu sendiri akan segera menguncup apabila disentuh
yg mengibaratkan bahawa seseorang wanita itu haruslah menanamkan
rasa malu di dlm diri sendiri di samping mempunyai sifat malu yg
kena pada tempatnya.

2) Pohon2 semalu adalah dimaklumi mempunyai duri-duri yg amat tajam
utk mempertahankan dirinya maka seseorang wanita itu juga perlulah
mempunyai sifat berani serta tahu bagaimana utk mempertahankan diri
dan maruah kewanitaan mereka sebagai seseorang muslimah.

3)Pohon semalu juga mempunyai akar tunjang yg sangat kuat dan
mencengkam bumi yg membawa makna bahawa seseorang wanita haruslah
mempunyai keterikatan yg amat kuat dgn Allah SWT Yang Maha Agung.

4)Akhir sekali, pohon2 semalu sememangnya akan menguncup dgn
sendirinya apabila senja menjelang tiba justeru itu para wanita
sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila hari menjadi semakin senja
dan ambillah pengajaran daripada pohon semalu itu walaupun ia
hanyalah sepohon tumbuhan yg kecil yg mungkin tidak membawa apa2
makna pada pandangan mata manusia.

Isnin, 6 Disember 2010

MAHASISWA

Bismillah WaAlhamdulillah Wasolatua'la Rasulillah
 Assalammualaikum...

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menghirup nikmat Allah diatasmuka bumi ini. Dan harus disedari, segala nikmat yang diberi secara terus-menerus ini harus dibayar dengan cara mengabdikan diri keada tuan ampunya nikmat.
Mahasiswa, satu tajuk baru dalam teratak saya. melihat keadaan Mahasiswa yang semakin hari semakin lesu memanggil saya untuk menyorot kembali perjuangan kebangkitan Mahasiswa dalam negara. Memandangkansaya juga memegang gelaran ini, membuatkan saya kurang senang apabila ada individu yang menyatakan Mahasiswa masakini MahaLembap atau MahaBengap.
sebelum pergi lebih jauh, saya melihat takrifan mahasiswa dari pandangan mata saya:
"sekelompok manusia yang terpilih yang layak untuk menduduki satu institusi pendidikan tinggi dalam sesebuah negara"
kalau nak tengok takrifan saya, inibermaksud mahasiswa ni golongan yang tidaklah ramai, namun mampu memberi kesan kepada keadaan sesebauah negara. sekarang ini sedang mengkaji rentetan perjuangan mahasiswa. walaupun hanya dengan menggunakan sumber sekunder, diharapkan perkongsisn selepas ini akan mempu menyedarkan Mahasiswa dengan peranan mereka sebagai Mahasiswa.

Seorang Anak Membelakangkan Perintah Ayahnya...

Ketika Rasulullah S.A.W memanggil kaum Muslimin yang mampu berperang untuk terjun ke gelanggang perang Badar, terjadi dialog menarik antara Saad bin Khaitsamah dengan ayahnya yakni Khaitsamah. Dalam masa-masa itu panggilan seperti itu tidak terlalu menghairankan. Kaum Muslimin sudah tidak merasa asing bila dipanggil untuk membela agama Allah dan jihad fisabilillah. Sebab itu Khaitsamah berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, aku akan keluar untuk berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan anak-anak."
"Wahai ayahku, demi Allah janganlah berbuat seperti itu, kerana keinginanku untuk memerangi mereka lebih besar daripada keinginanmu. Engkau telah berkepentingan untuk tinggal di rumah, maka izinkanlah aku keluar dan tinggallah engkau di sini, wahai ayahku."
Khaitsamah marah dan berkata kepada anaknya, "Kau membangkang dan tidak mentaati perintahku."
Saad menjawab, "Allah mewajibkan aku berjihad dan Rasulullah memanggilku untuk berangkat berperang. Sedangkan engkau meminta sesuatu yang lain padaku, sehingga bagaimana engkau rela melihat aku taat padamu tetapi aku menentang Allah dan Rasulullah."
Maka Khaitsamah berkata, "Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat."
Saad menjawab, " Demi Allah wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku akan mendahulukanmu."
Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahawa Saadlah yang harus turun ke medan perang. Dia pun turun ke medan Badar dan mati syahid.
Setelah itu Khaitsamah berangkat menuju medan pertempuran. Tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya. Hanya sahaja Rasulullah akhirnya mengizinkannya setelah Khaitsamah berkata sambil menangis, " Wahai Rasulullah, aku sekali terjun dalam perang Badar. Lantaran inginnya aku harus mengadakan undian dengan anakku. Tetapi itu dimenangkannya sehingga dia yang mendapat mati syahid. Kelmarin aku bermimpi di mana di dalamnya anakku itu berkata kepadaku, "Engkau harus menemani kami di syurga, dan aku telah menerima janji Allah. Wahai Rasulullah, demi Allah aku rindu untuk menemaninya di syurga. Usiaku telah lanjut dan aku ingin berjumpa dengan Tuhanku."
Setelah diizinkan Rasulullah, Khaitsamah bertempur hingga mati syahid dan berjumpa dengan anaknya di syurga.


Jumaat, 3 Disember 2010

SUNNAH TIDUR TENGAHARI DAN PENEMUAN SEMASA


Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu  amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi:
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji.Rasulullah ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata:
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai
sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.
Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan
tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)
Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a midafternoon quiescent phase' atau ' a secondary sleep gate.' Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr. William A. Anthony, Ph.D. dan Camille W. Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

(Laporan saintifik tentang kelebihan tidur tengahari ke atas produktiviti berdasarkan kajian 25 tahun)

SEDIKIT NASIHAT MENGENAI CARA-CARA MENDIDIK KAUM WANITA


Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah.

Didiklah mereka dengan panduan dariNya. JANGAN CUBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, NANTI MEREKA SEMAKIN LIAR. JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, NANTI MEREKA SEMAKIN MENDERITA. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, disitulah suisnya. AKAL SETIPIS RAMBUTNYA, TEBALKAN DENGAN ILMU. HATI SERAPUH KACA, KUATKAN DENGAN IMAN. PERASAAN SELEMBUT SUTERA, HIASILAH DENGAN AKHLAK.

Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak menjadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau women gladiator.

Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan. Kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja - negarawan, karyawan, jutawan dan 'wan-wan' yang lain. Tidak akan lahir superman tanpa superwoman. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkannya.

LEBIH RAMAI LELAKI YANG DIROSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIROSAKKAN OLEH  LELAKI. SEBODOH-BODOH PEREMPUAN PUN BOLEH MENUNDUKKAN SEPANDAI-PANDAI LELAKI. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa.

Para lelaki pula jangan hanya mengharapkan ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadaNya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah kepimpinan kita.

JANGAN MENGHARAPKAN ISTERI SEPERTI SAYYIDATINA FATIMAH RA, KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYYIDINA ALI RA...

" Berbudi selagi perlu ,Berukhuwah selagi mampu "

Khamis, 2 Disember 2010

Almarhum Ust Fadzil Noor 1986

Hukum Peminangan


MAKNA MEMINANG
Meminang ialah menyatakan perasaan ingin mengahwini seorang perempuan tertentu samada ia dinyatakan terhadap perempuan tersebut atau walinya. Dan samada secara langsung dari peminang tersebut, wakil atau keluarganya. Upacara pertunangan akan selesai dengan persetujuan dari pihak perempuan.

RAHSIA DI SEBALIK PERTUNANGAN
Pertunangan merupakan satu cara untuk mengenali antara satu sama lain. Samada dari pihak lelaki mahupun perempuan.
Kerana dengan jalan pertunangan, pihak lelaki atau perempuan boleh mempelajari, mengkaji atau mengetahui akhlak, tabiat dan kecenderungan masing-masing. Walau-bagaimanapun ianya mestilah dilakukan dalam lingkungan batas-batas yang dibenarkan oleh syarak.

BENTUK-BENTUK PEMINANGAN
Terdapat dua bentuk peminangan, iaitu:

1) Tasrih (jelas atau terus-terang)
Iaitu peminangan yang dilakukan melalui ucapan terus-terang dari pihak lelaki dengan meluahkan perasaan ingin mengahwini
perempuan yang dipinang. Contoh ucapannya:

"Saya ingin mengahwini awak."

Atau: "saya ingin menjadikan awak sebagai isteri."

Atau "Sudikah awak menjadi isteri saya?"

2) Ta'rid (sindiran)
Iaitu peminangan yang dilakukan dalam bentuk perbuatan atau kata-kata sindiran. Sebagai contoh seorang lelaki berkata
kepada seorang perempuan:

"Awak cantik!"

Atau: "Barangkali ada orang yang sukakan awak."

Perbuatan memberi hadiah kepada perempuan yang ingin dijadikan isteri juga dianggap sebagai meminang secara ta'rid.

SYARAT-SYARAT MEMINANG

Seorang lelaki diharuskan meminang seorang perempuan dengan dua syarat, iaitu:

Syarat pertama: Perempuan tersebut tidak diharamkan oleh syarak untuk dinikahi.

Syarat kedua: Perempuan tersebut belum bertunang dengan lelaki lain.

------------------

Perinciannya:

Syarat pertama:
Perempuan tersebut tidak diharamkan oleh syarak untuk dinikahi. Samada pengharaman tersebut untuk selama-lamanya seperti saudara perempuan, emak saudara atau sebagainya. Atau pengharaman tersebut untuk sementara waktu sahaja seperti perempuan ketika di dalam iddah dengan suaminya yang lalu.

MEMINANG PEREMPUAN YANG MASIH DALAM IDDAH

Seorang lelaki diharamkan meminang secara tasrih terhadap seorang perempuan yang masih berada di dalam iddah kerana
kematian suami atau kerana talak ruj'ie atau talak ba'in.

MENGAPA HARAM?

Islam mengharamkan peminangan secara tasrih terhadap perempuan yang masih di dalam iddah kerana:

1) Berkemungkinan perempuan tersebut akan berdusta tentang tempoh habis iddahnya.

2) Dengan meminang perempuan yang masih dalam iddah secara tidak langsung akan menganiaya hak suaminya yang
lalu. Sedangkan menganiaya hak orang lain adalah haram hukumnya.

HUKUM MEMINANG SECARA TA'RID

Penjelasan hukum meminang seorang perempuan yang masih dalam iddah secara ta'rid adalah sebagai berikut:

a) Jika iddah perempuan tersebut dengan sebab kematian suami, maka harus meminangnya secara ta'rid kerana
perkahwinannya telahpun berakhir. Dengan ini peminangan secara ta'rid tidak dianggap sebagai menganiaya hak
orang lain, berbanding dengan peminangan secara tasrih.

b) Jika iddahnya dengan sebab talak, maka terbahagi kepada dua:

1) Talak ruj'ie
Iaitu perceraian dengan talak satu atau dua. Haram meminangnya samada secara tasrih atau ta'rid kerana suaminya yang lalu
masih mempunyai hak untuk rujuk kembali ketika tempoh iddahnya. Dengan ini meminang perempuan tersebut bermakna telah menganiaya hak suaminya yang lalu kerana dia masih lagi dianggap sebagai isterinya.

2) Talak ba'in bainunah sughra atau kubro
Dengan talak ini, seorang lelaki boleh meminang perempuan tersebut secara ta'rid. Kerana dengan talak ini, bemakna telah
terputuslah hubungan suami isteri dengan ertikata sebenarnya. Maka tidak timbul masalah menganiaya hak orang lain jika
peminangan tersebut dilakukan secara sindiran atau ta'rid.

Syarat kedua: Perempuan tersebut belum bertunang dengan lelaki lain.

HUKUM MEMINANG TUNANGAN ORANG

Haram meminang atas pinangan orang, iaitu meminang perempuan yang telah diikat dengan tali pertunangan. Hukum ini adalah berdasarkan sabdaan Rasulullah s.a.w. yang pernah menyatakan mengenai larangan ini: Ertinya: Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkan. (Riwayat Bukhari)

Hadis di atas melarang seorang muslim meminang pinangan saudara muslimnya yang lain. Larangan ini dikecualikan jika
peminang pertama telah meninggalkan perempuan itu atau jika lelaki pertama telah memberi izin kepada peminang kedua.

Larangan yang terdapat di dalam hadis di atas membawa maksud haram. Dan pengharaman ini bertujuan untuk melindungi hak lelaki pertama.

SYARAT-SYARAT PENGHARAMAN

Menurut al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Mughni al-Muhtaj bahawa pengharaman meminang atas pinangan orang
hanya berlaku dengan syarat-syarat di bawah ini:

Pertama: Peminang yang kedua telah mengetahui bahawa perempuan yang dipinangnya itu telah dipinang oleh lelaki pertama.
Atau dengan ertikata yang mudah, lelaki tersebut telah mengetahui bahawa perempuan yang dipinangnya itu adalah tunangan
orang.

Seseorang perempuan telah dianggap sebagai tunangan orang secara syarak dengan jawapan setuju menerima yang diberikan
oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki yang meminang.

Jawapan terima boleh diambil kira oleh syarak bagi pihak perempuan melalui salah seorang sebagaimana dibawah ini:
a) Perempuan itu sendiri, seandainya pengizinannya boleh diambil kira.
b) Wali perempuan yang dipinang seandainya pengizinan perempuan tersebut tidak boleh diambil kira.
c) Perempuan dan walinya jika peminang tidak kufu
d) Sultan, jika perempuan tersebut gila, telah baligh dan ketiadaan bapa serta datuk.
 

DIAM SEORANG WANITA

Diam seorang wanita yang masih dara lagi ghairil mujbirah yang diminta jawapan ketika peminangan boleh dianggap sebagai
jawapan setuju. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh imam Syafi'i di dalam kitabnya al-Umm.

Tidak haram bagi peminang kedua jika pihak perempuan belum memberikan jawapan kepada peminang pertama dalam
jangkamasa yang boleh diambil kira oleh syarak. Jangkamasa tersebut dikira dengan uruf atau adat kebiasaan masyarakat
setempat pada masa itu.

Hukum ini bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w., ketika Baginda meminang Fatimah binti Qais untuk Usamah bin Zaid, dia
menyatakan kepada Baginda bahawa dirinya telah dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah: Ertinya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Abu Jahm seorang yang ringan tangan , sedang Muawiyah seorang yang melarat, berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid."

Hukum yang dapat diambil dari hadis di atas ialah: Abu Jahm dan Muawiyah telah meminang Fatimah binti Qais. Selepas itu
Rasulullah s.a.w. pula datang meminangnya untuk Usamah bin Zaid. Peminangan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana
Fatimah binti Qais belum memberikan jawapan terhadap pinangan kedua-dua sahabatnya sebelum itu iaitu Abu Jahm dan
Muawiyah.

Kedua: Lelaki kedua mengetahui 3 perkara di bawah ini:
1) Tentang peminangan lelaki pertama.
2) Perempuan tersebut telah menerima pinangan lelaki pertama
3) Hukum haram meminang atas pinangan.
 

Ketiga: Bahawa peminang pertama hendaklah orang yang diharuskan meminang perempuan tersebut. Seperti yang tertera pada keterangan Bentuk-bentuk Peminangan ada diterangkan tentang pengharaman meminang perempuan yang masih dalam iddah disebabkan talak ruj'ie.

LELAKI MEMINANG 5 PEREMPUAN

Seandainya terdapat seorang lelaki meminang lima orang perempuan dan kelima-limanya telah memberikan jawapan jelas
mengatakan setuju, maka diharamkan bagi lelaki lain meminang salah seorang dari lima perempuan tersebut.

Pengharaman ini berlaku sehingga dia telah mengahwini empat orang darinya atau meninggalkan kelima-limanya atau sebahagian darinya.

Mengapa diharamkan meminang salah seorang dari lima perempuan yang tersebut? Menurut ulamak Syafi'e, kerana tidak
diketahui perempuan yang keberapakah yang mahu dinikahinya. Berkemungkinan perempuan yang kelima dan berkemungkinan perempuan yang ketiga atau kedua.

HUKUM PERNIKAHAN SESEORANG YANG MEMINANG TUNANGAN ORANG

Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa seorang lelaki diharamkan meminang tunangan orang. Bagaimanakah pula jika
pinangan dari lelaki kedua ini diterima dan akhirnya membawa kepada perkahwinan? Adakah pernikahannya sah?

Pernikahannya tetap sah, dan lelaki tersebut menanggung dosa kerana peminangan tersebut.

HUKUM MELIHAT

Di bawah tajuk ini, saya tidak hanya menerangkan mengenai masalah hukum melihat sebelum peminangan dijalankan, tetapi
mencakupi seluruh hukum yang berkaitan dengannya. Termasuk juga perbincangan di bawah tajuk ini ialah mengenai hukum
berjabat tangan dan hukum memberi salam.

Inilah tradisi ulamak-ulamak fikah mazhab Syafi'i ketika menulis tajuk ini. Walaupun ianya dilihat sebagai tidak ada kena
mengena dengan masalah perkahwinan mahupun pertunangan tetapi saya penuh yakin dan percaya bahawa banyak rahsia di
sebalik penyusunan begini.

MELIHAT BAKAL TUNANG

Seorang lelaki yang mempunyai azam untuk mendirikan rumahtangga disunatkan untuk melihat perempuan yang mahu
dipinangnya supaya tidak timbul penyesalan dikemudian hari.

WAKTU MELIHAT

Waktu yang disunatkan melihat perempuan ialah:
1) Sebelum meminang
2) Setelah mempunyai azam untuk mengahwininya
 

Mengapa sebelum meminang?

Kerana melihat perempuan setelah meminang akan menyebabkan beberapa kemungkinan yang akan menyakiti hati dan
perasaan perempuan tersebut. Seperti lelaki yang meminangnya itu membatalkan hasratnya untuk memperisterikan perempuan tersebut setelah melihatnya.

Mengapa setelah mempunyai azam untuk mengahwininya? Kerana melihat perempuan sebelum mempunyai azam untuk
mengahwininya merupakan suatu perkara yang tidak membawa faedah. Bahkan haram hukumnya.

ANGGOTA YANG HARUS DILIHAT

Ketika melihat perempuan yang mahu dipinang, Islam telah menyatakan garis sempadan yang harus dipelihara. Di bawah ini
saya menukilkan dari kitab-kitab muktabar ulamak-ulamak Syafi'i tentang aggota yang harus dilihat pada perempuan yang ingin dipinang, iaitu:

PEREMPUAN MERDEKA

Jika perempuan yang ingin dipinang itu merupakan perempuan yang merdeka, maka lelaki yang ingin meminang diharuskan
melihat dua anggota sahaja iaitu:

1) Muka
Kerana dengan melihat muka lelaki tersbut dapat mengetahui cantik atau hodohnya perempuan yang mahu dipinang itu.

2) Dua tapak tangan
Dengan melihat tapak tangan pula, lelaki tersebut dapat mengetahui kehalusan kulit tubuh badannya. Dengannya juga dapat
diketahui cacat cela yang terdapat pada tubuh badannya.

PEREMPUAN HAMBA

Seorang lelaki yang ingin meminang seorang perempuan hamba diharuskan melihat selain dari anggota yang berada di antara
pusat dan lutut.

PERLUKAH IZIN DARI WALI UNTUK MELIHAT?

Seorang lelaki yang mempunyai keazaman untuk memperisterikan seseorang perempuan diharuskan melihat perempuan tersebut sekalipun tanpa keizinan dari walinya. Memadailah dengan keizinan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya melalui sabdaannya yang berbunyi:

Ertinya: Dari Mughirah bin Syukbah r.a., dia telah berkata: Aku telah meminang seorang perempuan jariah dari kalangan
kaum Ansar. Perkara tersebut aku nyatakan kepada Nabi s.a.w. dan baginda telah bersabda: "Lihatlah dia. Adalah
lebih patut kalau ada kesesuaian antara kamu berdua." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda bersabda pada hadis yang lain:

Ertinya: Di mata kaum Ansar terdapat sesuatu, jika ada di antara kamu yang ingin berkahwin dengan wanitanya,
lihatlah dia. (Riwayat Muslim)

MELIHAT BERULANG-ULANG KALI

Islam membenarkan lelaki tersebut melihat perempuan yang ingin dipinang berulangkali sehingga dia berpuas hati dan tidak akan timbul penyesalan di kemudian hari.

Menurut kebiasaannya, seseorang itu tidak dapat memastikan tentang kecantikan atau kecacatan seseorang perempuan itu
dengan hanya sekali pandang. Walaubagaimanapun perkara ini hanya dibenarkan dengan syarat yang lalu, iaitu mempunyai
hajat.

MENIMBULKAN FITNAH DAN MENAIKKAN SYAHWAT

Apakah hukumnya jika seorang lelaki itu melihat perempuan yang ingin dipinangnya dengan syahwat? Atau dengan melihatnya akan menimbulkan fitnah terhadap lelaki tersebut?

Jawapannya, tidak mengapa melihat perempuan tersebut sekalipun dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau dengan syahwat.

Maksud menimbulkan fitnah ialah, sesuatu yang dapat menarik ke arah zina samada kerana kecantikan, kemerduan suara atau sebagainya.

SYARAT-SYARAT PENGHARUSAN MELIHAT

Seorang lelaki yang telah mempunyai azam untuk azam untuk mengahwini seseorang perempuan dibenarkan melihatnya dengan
tiga syarat, iaitu:
1) Perempuan tersebut tidak bersuami.
2) Perempuan tidak dalam iddah.
3) Mempunyai harapan untuk diterima pinangannya.
 

LELAKI YANG MEMPUNYAI KESULITAN UNTUK MELIHAT

Seorang lelaki yang mempunyai kesulitan untuk melihat perempuan yang ingin dikahwininya atau kerana tidak mahu melihatnya
sendiri disunatkan supaya mengutuskan seorang perempuan atau mahramnya (perempuan tersebut) untuk melihatnya. Ini
dilakukan dengan harapan agar utusannya itu dapat menceritakan kepadanya tentang rupa dan sifat perempuan tersebut.

Dalil dari perkara ini ada disebutkan oleh Syed al-Bakri bin Syed Muhamad Syatha al-Dimyati di dalam kitab I'anah al-Talibin
syarah kepada kitab Fathul Mu'in karya al-Allamah syeikh Zainuddin al-Malbari: Ertinya: Yang demikian itu telah diriwayatkan
oleh imam Ahmad di dalam kitabnya al-Musnad, bahawa Nabi Muhamad s.a.w. telah mengutus seorang wanita untuk
meminang seorang wanita untuknya.

Utusan tersebut dibenarkan untuk menceritakan atau menggambarkan lebih dari anggota yang dibenarkan melihatnya iaitu muka dan dua tapak tangan. Bahkan dengan cara ini, lelaki tersebut dapat mengetahui rupa bentuk atau sifat yang tidak dibenarkan oleh syarak melihatnya.

LELAKI YANG TIDAK BERKENAN TERHADAP PEREMPUAN YANG DILIHAT

Apabila lelaki tersebut tidak berkenan dengan perempuan yang dilihatnya, hendaklah dia diam. Dan jangan berkata: "Aku tidak
sukakan kamu" atau sebagainya kerana kata-kata seperti ini hanya akan menyakiti hati perempuan tersebut.

HUKUM PEREMPUAN MEMANDANG LELAKI YANG MAHU MEMINANGNYA

Sebagaimana lelaki, perempuan juga disunatkan untuk melihat lelaki yang mahu meminangnya. Kerana perempuan juga
mempunyai perasaan sebagaimana lelaki, di mana ada perkara yang disukai dan dibencinya.

HUKUM MENYENTUH

Di dalam masalah yang lalu, Islam hanya membenarkan melihat sahaja terhadap perempuan yang ingin dipinang dengan
syarat-syarat tertentu. Dengan ini, menyentuh perempuan tersebut adalah haram hukumnya kerana untuk mengetahui cantik atau hodohnya dan cacat celanya tidak perlu dengan sentuhan, memadai dengan melihat.