BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 2 Disember 2010

Hukum Peminangan


MAKNA MEMINANG
Meminang ialah menyatakan perasaan ingin mengahwini seorang perempuan tertentu samada ia dinyatakan terhadap perempuan tersebut atau walinya. Dan samada secara langsung dari peminang tersebut, wakil atau keluarganya. Upacara pertunangan akan selesai dengan persetujuan dari pihak perempuan.

RAHSIA DI SEBALIK PERTUNANGAN
Pertunangan merupakan satu cara untuk mengenali antara satu sama lain. Samada dari pihak lelaki mahupun perempuan.
Kerana dengan jalan pertunangan, pihak lelaki atau perempuan boleh mempelajari, mengkaji atau mengetahui akhlak, tabiat dan kecenderungan masing-masing. Walau-bagaimanapun ianya mestilah dilakukan dalam lingkungan batas-batas yang dibenarkan oleh syarak.

BENTUK-BENTUK PEMINANGAN
Terdapat dua bentuk peminangan, iaitu:

1) Tasrih (jelas atau terus-terang)
Iaitu peminangan yang dilakukan melalui ucapan terus-terang dari pihak lelaki dengan meluahkan perasaan ingin mengahwini
perempuan yang dipinang. Contoh ucapannya:

"Saya ingin mengahwini awak."

Atau: "saya ingin menjadikan awak sebagai isteri."

Atau "Sudikah awak menjadi isteri saya?"

2) Ta'rid (sindiran)
Iaitu peminangan yang dilakukan dalam bentuk perbuatan atau kata-kata sindiran. Sebagai contoh seorang lelaki berkata
kepada seorang perempuan:

"Awak cantik!"

Atau: "Barangkali ada orang yang sukakan awak."

Perbuatan memberi hadiah kepada perempuan yang ingin dijadikan isteri juga dianggap sebagai meminang secara ta'rid.

SYARAT-SYARAT MEMINANG

Seorang lelaki diharuskan meminang seorang perempuan dengan dua syarat, iaitu:

Syarat pertama: Perempuan tersebut tidak diharamkan oleh syarak untuk dinikahi.

Syarat kedua: Perempuan tersebut belum bertunang dengan lelaki lain.

------------------

Perinciannya:

Syarat pertama:
Perempuan tersebut tidak diharamkan oleh syarak untuk dinikahi. Samada pengharaman tersebut untuk selama-lamanya seperti saudara perempuan, emak saudara atau sebagainya. Atau pengharaman tersebut untuk sementara waktu sahaja seperti perempuan ketika di dalam iddah dengan suaminya yang lalu.

MEMINANG PEREMPUAN YANG MASIH DALAM IDDAH

Seorang lelaki diharamkan meminang secara tasrih terhadap seorang perempuan yang masih berada di dalam iddah kerana
kematian suami atau kerana talak ruj'ie atau talak ba'in.

MENGAPA HARAM?

Islam mengharamkan peminangan secara tasrih terhadap perempuan yang masih di dalam iddah kerana:

1) Berkemungkinan perempuan tersebut akan berdusta tentang tempoh habis iddahnya.

2) Dengan meminang perempuan yang masih dalam iddah secara tidak langsung akan menganiaya hak suaminya yang
lalu. Sedangkan menganiaya hak orang lain adalah haram hukumnya.

HUKUM MEMINANG SECARA TA'RID

Penjelasan hukum meminang seorang perempuan yang masih dalam iddah secara ta'rid adalah sebagai berikut:

a) Jika iddah perempuan tersebut dengan sebab kematian suami, maka harus meminangnya secara ta'rid kerana
perkahwinannya telahpun berakhir. Dengan ini peminangan secara ta'rid tidak dianggap sebagai menganiaya hak
orang lain, berbanding dengan peminangan secara tasrih.

b) Jika iddahnya dengan sebab talak, maka terbahagi kepada dua:

1) Talak ruj'ie
Iaitu perceraian dengan talak satu atau dua. Haram meminangnya samada secara tasrih atau ta'rid kerana suaminya yang lalu
masih mempunyai hak untuk rujuk kembali ketika tempoh iddahnya. Dengan ini meminang perempuan tersebut bermakna telah menganiaya hak suaminya yang lalu kerana dia masih lagi dianggap sebagai isterinya.

2) Talak ba'in bainunah sughra atau kubro
Dengan talak ini, seorang lelaki boleh meminang perempuan tersebut secara ta'rid. Kerana dengan talak ini, bemakna telah
terputuslah hubungan suami isteri dengan ertikata sebenarnya. Maka tidak timbul masalah menganiaya hak orang lain jika
peminangan tersebut dilakukan secara sindiran atau ta'rid.

Syarat kedua: Perempuan tersebut belum bertunang dengan lelaki lain.

HUKUM MEMINANG TUNANGAN ORANG

Haram meminang atas pinangan orang, iaitu meminang perempuan yang telah diikat dengan tali pertunangan. Hukum ini adalah berdasarkan sabdaan Rasulullah s.a.w. yang pernah menyatakan mengenai larangan ini: Ertinya: Janganlah seorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang oleh saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunang sebelumnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkan. (Riwayat Bukhari)

Hadis di atas melarang seorang muslim meminang pinangan saudara muslimnya yang lain. Larangan ini dikecualikan jika
peminang pertama telah meninggalkan perempuan itu atau jika lelaki pertama telah memberi izin kepada peminang kedua.

Larangan yang terdapat di dalam hadis di atas membawa maksud haram. Dan pengharaman ini bertujuan untuk melindungi hak lelaki pertama.

SYARAT-SYARAT PENGHARAMAN

Menurut al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya al-Mughni al-Muhtaj bahawa pengharaman meminang atas pinangan orang
hanya berlaku dengan syarat-syarat di bawah ini:

Pertama: Peminang yang kedua telah mengetahui bahawa perempuan yang dipinangnya itu telah dipinang oleh lelaki pertama.
Atau dengan ertikata yang mudah, lelaki tersebut telah mengetahui bahawa perempuan yang dipinangnya itu adalah tunangan
orang.

Seseorang perempuan telah dianggap sebagai tunangan orang secara syarak dengan jawapan setuju menerima yang diberikan
oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki yang meminang.

Jawapan terima boleh diambil kira oleh syarak bagi pihak perempuan melalui salah seorang sebagaimana dibawah ini:
a) Perempuan itu sendiri, seandainya pengizinannya boleh diambil kira.
b) Wali perempuan yang dipinang seandainya pengizinan perempuan tersebut tidak boleh diambil kira.
c) Perempuan dan walinya jika peminang tidak kufu
d) Sultan, jika perempuan tersebut gila, telah baligh dan ketiadaan bapa serta datuk.
 

DIAM SEORANG WANITA

Diam seorang wanita yang masih dara lagi ghairil mujbirah yang diminta jawapan ketika peminangan boleh dianggap sebagai
jawapan setuju. Inilah pendapat yang dinyatakan oleh imam Syafi'i di dalam kitabnya al-Umm.

Tidak haram bagi peminang kedua jika pihak perempuan belum memberikan jawapan kepada peminang pertama dalam
jangkamasa yang boleh diambil kira oleh syarak. Jangkamasa tersebut dikira dengan uruf atau adat kebiasaan masyarakat
setempat pada masa itu.

Hukum ini bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w., ketika Baginda meminang Fatimah binti Qais untuk Usamah bin Zaid, dia
menyatakan kepada Baginda bahawa dirinya telah dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah: Ertinya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Abu Jahm seorang yang ringan tangan , sedang Muawiyah seorang yang melarat, berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid."

Hukum yang dapat diambil dari hadis di atas ialah: Abu Jahm dan Muawiyah telah meminang Fatimah binti Qais. Selepas itu
Rasulullah s.a.w. pula datang meminangnya untuk Usamah bin Zaid. Peminangan ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana
Fatimah binti Qais belum memberikan jawapan terhadap pinangan kedua-dua sahabatnya sebelum itu iaitu Abu Jahm dan
Muawiyah.

Kedua: Lelaki kedua mengetahui 3 perkara di bawah ini:
1) Tentang peminangan lelaki pertama.
2) Perempuan tersebut telah menerima pinangan lelaki pertama
3) Hukum haram meminang atas pinangan.
 

Ketiga: Bahawa peminang pertama hendaklah orang yang diharuskan meminang perempuan tersebut. Seperti yang tertera pada keterangan Bentuk-bentuk Peminangan ada diterangkan tentang pengharaman meminang perempuan yang masih dalam iddah disebabkan talak ruj'ie.

LELAKI MEMINANG 5 PEREMPUAN

Seandainya terdapat seorang lelaki meminang lima orang perempuan dan kelima-limanya telah memberikan jawapan jelas
mengatakan setuju, maka diharamkan bagi lelaki lain meminang salah seorang dari lima perempuan tersebut.

Pengharaman ini berlaku sehingga dia telah mengahwini empat orang darinya atau meninggalkan kelima-limanya atau sebahagian darinya.

Mengapa diharamkan meminang salah seorang dari lima perempuan yang tersebut? Menurut ulamak Syafi'e, kerana tidak
diketahui perempuan yang keberapakah yang mahu dinikahinya. Berkemungkinan perempuan yang kelima dan berkemungkinan perempuan yang ketiga atau kedua.

HUKUM PERNIKAHAN SESEORANG YANG MEMINANG TUNANGAN ORANG

Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa seorang lelaki diharamkan meminang tunangan orang. Bagaimanakah pula jika
pinangan dari lelaki kedua ini diterima dan akhirnya membawa kepada perkahwinan? Adakah pernikahannya sah?

Pernikahannya tetap sah, dan lelaki tersebut menanggung dosa kerana peminangan tersebut.

HUKUM MELIHAT

Di bawah tajuk ini, saya tidak hanya menerangkan mengenai masalah hukum melihat sebelum peminangan dijalankan, tetapi
mencakupi seluruh hukum yang berkaitan dengannya. Termasuk juga perbincangan di bawah tajuk ini ialah mengenai hukum
berjabat tangan dan hukum memberi salam.

Inilah tradisi ulamak-ulamak fikah mazhab Syafi'i ketika menulis tajuk ini. Walaupun ianya dilihat sebagai tidak ada kena
mengena dengan masalah perkahwinan mahupun pertunangan tetapi saya penuh yakin dan percaya bahawa banyak rahsia di
sebalik penyusunan begini.

MELIHAT BAKAL TUNANG

Seorang lelaki yang mempunyai azam untuk mendirikan rumahtangga disunatkan untuk melihat perempuan yang mahu
dipinangnya supaya tidak timbul penyesalan dikemudian hari.

WAKTU MELIHAT

Waktu yang disunatkan melihat perempuan ialah:
1) Sebelum meminang
2) Setelah mempunyai azam untuk mengahwininya
 

Mengapa sebelum meminang?

Kerana melihat perempuan setelah meminang akan menyebabkan beberapa kemungkinan yang akan menyakiti hati dan
perasaan perempuan tersebut. Seperti lelaki yang meminangnya itu membatalkan hasratnya untuk memperisterikan perempuan tersebut setelah melihatnya.

Mengapa setelah mempunyai azam untuk mengahwininya? Kerana melihat perempuan sebelum mempunyai azam untuk
mengahwininya merupakan suatu perkara yang tidak membawa faedah. Bahkan haram hukumnya.

ANGGOTA YANG HARUS DILIHAT

Ketika melihat perempuan yang mahu dipinang, Islam telah menyatakan garis sempadan yang harus dipelihara. Di bawah ini
saya menukilkan dari kitab-kitab muktabar ulamak-ulamak Syafi'i tentang aggota yang harus dilihat pada perempuan yang ingin dipinang, iaitu:

PEREMPUAN MERDEKA

Jika perempuan yang ingin dipinang itu merupakan perempuan yang merdeka, maka lelaki yang ingin meminang diharuskan
melihat dua anggota sahaja iaitu:

1) Muka
Kerana dengan melihat muka lelaki tersbut dapat mengetahui cantik atau hodohnya perempuan yang mahu dipinang itu.

2) Dua tapak tangan
Dengan melihat tapak tangan pula, lelaki tersebut dapat mengetahui kehalusan kulit tubuh badannya. Dengannya juga dapat
diketahui cacat cela yang terdapat pada tubuh badannya.

PEREMPUAN HAMBA

Seorang lelaki yang ingin meminang seorang perempuan hamba diharuskan melihat selain dari anggota yang berada di antara
pusat dan lutut.

PERLUKAH IZIN DARI WALI UNTUK MELIHAT?

Seorang lelaki yang mempunyai keazaman untuk memperisterikan seseorang perempuan diharuskan melihat perempuan tersebut sekalipun tanpa keizinan dari walinya. Memadailah dengan keizinan yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya melalui sabdaannya yang berbunyi:

Ertinya: Dari Mughirah bin Syukbah r.a., dia telah berkata: Aku telah meminang seorang perempuan jariah dari kalangan
kaum Ansar. Perkara tersebut aku nyatakan kepada Nabi s.a.w. dan baginda telah bersabda: "Lihatlah dia. Adalah
lebih patut kalau ada kesesuaian antara kamu berdua." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baginda bersabda pada hadis yang lain:

Ertinya: Di mata kaum Ansar terdapat sesuatu, jika ada di antara kamu yang ingin berkahwin dengan wanitanya,
lihatlah dia. (Riwayat Muslim)

MELIHAT BERULANG-ULANG KALI

Islam membenarkan lelaki tersebut melihat perempuan yang ingin dipinang berulangkali sehingga dia berpuas hati dan tidak akan timbul penyesalan di kemudian hari.

Menurut kebiasaannya, seseorang itu tidak dapat memastikan tentang kecantikan atau kecacatan seseorang perempuan itu
dengan hanya sekali pandang. Walaubagaimanapun perkara ini hanya dibenarkan dengan syarat yang lalu, iaitu mempunyai
hajat.

MENIMBULKAN FITNAH DAN MENAIKKAN SYAHWAT

Apakah hukumnya jika seorang lelaki itu melihat perempuan yang ingin dipinangnya dengan syahwat? Atau dengan melihatnya akan menimbulkan fitnah terhadap lelaki tersebut?

Jawapannya, tidak mengapa melihat perempuan tersebut sekalipun dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau dengan syahwat.

Maksud menimbulkan fitnah ialah, sesuatu yang dapat menarik ke arah zina samada kerana kecantikan, kemerduan suara atau sebagainya.

SYARAT-SYARAT PENGHARUSAN MELIHAT

Seorang lelaki yang telah mempunyai azam untuk azam untuk mengahwini seseorang perempuan dibenarkan melihatnya dengan
tiga syarat, iaitu:
1) Perempuan tersebut tidak bersuami.
2) Perempuan tidak dalam iddah.
3) Mempunyai harapan untuk diterima pinangannya.
 

LELAKI YANG MEMPUNYAI KESULITAN UNTUK MELIHAT

Seorang lelaki yang mempunyai kesulitan untuk melihat perempuan yang ingin dikahwininya atau kerana tidak mahu melihatnya
sendiri disunatkan supaya mengutuskan seorang perempuan atau mahramnya (perempuan tersebut) untuk melihatnya. Ini
dilakukan dengan harapan agar utusannya itu dapat menceritakan kepadanya tentang rupa dan sifat perempuan tersebut.

Dalil dari perkara ini ada disebutkan oleh Syed al-Bakri bin Syed Muhamad Syatha al-Dimyati di dalam kitab I'anah al-Talibin
syarah kepada kitab Fathul Mu'in karya al-Allamah syeikh Zainuddin al-Malbari: Ertinya: Yang demikian itu telah diriwayatkan
oleh imam Ahmad di dalam kitabnya al-Musnad, bahawa Nabi Muhamad s.a.w. telah mengutus seorang wanita untuk
meminang seorang wanita untuknya.

Utusan tersebut dibenarkan untuk menceritakan atau menggambarkan lebih dari anggota yang dibenarkan melihatnya iaitu muka dan dua tapak tangan. Bahkan dengan cara ini, lelaki tersebut dapat mengetahui rupa bentuk atau sifat yang tidak dibenarkan oleh syarak melihatnya.

LELAKI YANG TIDAK BERKENAN TERHADAP PEREMPUAN YANG DILIHAT

Apabila lelaki tersebut tidak berkenan dengan perempuan yang dilihatnya, hendaklah dia diam. Dan jangan berkata: "Aku tidak
sukakan kamu" atau sebagainya kerana kata-kata seperti ini hanya akan menyakiti hati perempuan tersebut.

HUKUM PEREMPUAN MEMANDANG LELAKI YANG MAHU MEMINANGNYA

Sebagaimana lelaki, perempuan juga disunatkan untuk melihat lelaki yang mahu meminangnya. Kerana perempuan juga
mempunyai perasaan sebagaimana lelaki, di mana ada perkara yang disukai dan dibencinya.

HUKUM MENYENTUH

Di dalam masalah yang lalu, Islam hanya membenarkan melihat sahaja terhadap perempuan yang ingin dipinang dengan
syarat-syarat tertentu. Dengan ini, menyentuh perempuan tersebut adalah haram hukumnya kerana untuk mengetahui cantik atau hodohnya dan cacat celanya tidak perlu dengan sentuhan, memadai dengan melihat.

0 ulasan: